Wednesday, 21 February 2018

POTONG LIDAH DAHULU,
BARU BOLEH CAKAP

“RAMAI orang beritahu saya, budak-budak  tak boleh bercakap sebab lidah mereka sudah melekat. Jadi saya fikir perlu jumpa doktor untuk pastikan samada perlu potong atau tidak lidah anak saya ni?” Tergamam saya mendengar kenyataan Puan Ling, namun demi menjaga hatinya, saya terus menumpukan perhatian. Fikiran saya terus mencari-cari ayat yang sesuai diungkapkan bagi menerangkan fakta sebenar dan dalam masa yang sama memastikan tiada pihak terasa hati.

“Siapa ramai orang tu? seorang pakar? doktor? guru? jururawat?” Saya cuba mencari latar belakang penyampai maklumat ni….“Takdelah, bukan doktor cakap, kawan-kawan dan keluarga saya yang cakap macam ni. Tapi saya pun tak pernah tengok bagaimana keadaan lidah selepas dipotong”. Puan Ling menjawab ringkas.

“Ooo begitu. Mungkin mereka cakap dari pengalaman mempunyai anak bercakap tidak jelas. Selepas menjalani pembedahan kecil pada lidah atau yang puan sebut potong lidah, baru ada perubahan positif pertuturan mereka. Sebenarnya apabila otot ini pendek dari biasa, akan menyebabkan lidah seakan melekat di bahagian bawah mulut. Lidah menjadi susah untuk diangkat menyentuh gigi atas, dan apabila cuba menjulurkan lidah, maka akan terlihat sepeti kesan terbelah di tengah bahagian hadapan lidah atau seperti bentuk 'love'”. Saya menunjukkan frenum, iaitu otot halus seperti benang di bawah lidah.

“Memang keadaan lidah seperti ini akan menyebabkan percakapan menjadi tak jelas. Terutamanya untuk menyebut perkataan yang mempunyai bunyi T, N, D, L, kekadang turut menjejaskan sebutan Y, R, NY, J, tetapi tidak semua kes begitu. Ada juga kanak-kanak dengan masalah lidah lekat atau lidah pendek ni boleh bercakap dengan jelas, macam kanak-kanak lain. Sebab itulah juga tidak semua kanak-kanak lidah lekat ni perlu menjalani pembedahan tongue tie release atau lebih dikenali orang awam sebagai potong lidah. Dua fakta  penting bagi kes seperti ini,

(1)    Masalah lidah lekat atau lidah pendek atau tongue tie ni memang berpotensi menyebabkan kanak-kanak menjadi pelat (cakap tak jelas), tetapi bukanlah 100% peratus kes begini menyebabkan masalah sebutan.

(2)   Lidah pendek ni bukan punca kanak-kanak tidak faham arahan dan bukan juga bukan penyebab kanak-kanak langsung tidak bercakap.

Kesimpulannya, jika kanak-kanak boleh memahami serta mengujarkan bahasa dalam komunikasi, tetapi sebutannya tidak jelas dan disahkan mempunyai lidah lekat atau lidah pendek atau tongue tie. Maka prosedur tongue tie release boleh dicuba untuk memperbaiki sebutan kanak-kanak. Walaubagaimanapun, setelah menjalani prosedur pembedahan ini, kanak-kanak bukanlah terus boleh bercakap dengan betul. Kanak-kanak ini perlu menjalani proses penilaian dan terapi pertuturan bagi melatih mereka untuk menyebut bunyi pertuturan dengan betul”.


“Begitu rupanya, sekarang saya sudah faham mengapa doktor tidak pernah mencadangkan pembedahan tongue tie release untuk anak saya sebelum ni. Sebenarnya anak saya bukan tidak boleh cakap disebabkan masalah ini, tetapi dia perlu belajar language terlebih dahulu di Speech Therapy ini. Terima kasih kerana berkongsi maklumat ini dengan saya” Puan Ling merumuskan ringkas.

No comments:

Post a Comment

PERANAN IBU